Sunday, February 13, 2011

(7) antara mimpi,ilham,iktibar KCPLB

dan aku disedut kembali ke alam itu
aku lihat engkau di satu penjuru
satu sujud amat panjang tak seperti selalu
dan kali ini apa pula yang ingin kau nyatakan padaku

dalam esak tangis begitu
dalam bisik kata penuh sayu
dalam keikhlasan engkau merayu
dalam air mata kesyukuran menitis laju

dan sekali lagi aku dan engkau pun bersatu
nafasku dalam nafas mu
getar dan gerak kini berpadu
luahkanlah...tetap aku bersama mu

"Ya Allah Kau telah muliakan aku dengan anugerah Mu, Kau telah berikan kepada ku ketua bagi segala bidadari,maka jadikanlah seorang lelaki yang layak dikasihi, seorang suami yang soleh,bapa yang mithali,agar aku dapat memimpin dia dan zuriat ku ke jalan KebenaranMu. Bantulah aku untuk sentiasa bersyukur dengan segala nikmatMu, naikan darjatku dengan setiap ujian dan dugaan, jadikan aku sentiasa tenang dan sabar dalam urusanku, bantu aku dengan kemuliaan sunnah Muhammad Nabi Mu. "

kau diam dan kali ini agak lama
perlahan lahan aku pahatkan dalam ingatan
dan aku kekal menunggu
tak mampu meneka apakah akhir hajatmu

"Ya Allah dan jadikanlah dia bagi ku,tempat untuk aku berkongsi segala suka dan duka, pakaian kehormatan bagi ku,jadikanlah dia isteri yang aku kasihi,jadikan dia sumber kekuatan bagi ku untuk beribadat hanya kerana Mu,jadikan dia ibu mithali,penuhkan hatinya dengan kelembutan hikmah sunnah dalam mendidik,jadikan dia tabah bersamaku . Ya Rabbal Alamin perkenankan doaku ini "

masakan aku mampu menjadi sejujur itu
waktu kau pintu begitu hampir dengan Pencipta mu
dalam hati terdetik bicara
Ya Allah muliakan aku sepertinya

(6) antara mimpi,ilham,iktibar KCPLB

malam tu aku termenung sendiri,
merenung langit,
memerhatikan kerdipan bintang yang bergantungan,
indahnya gelang cahaya sinaran bulan,

takulan demi takulan,
tafsiran demi tafsiran,
mungkin cuma buaian mimpi,
tapi aku masih tercari erti yang tersembunyi,

bermacam penjelasan aku ikhtiarkan
bersamanya telahan segala kemungkinan
puas simpulan rahsia ini aku huraikan
namun masih tak ketemu jawapan

resah malam aku mencari kekuatan
rindu hati tidak tertahan lalu ku baca tinta Tuhan
aku mencari jalan dan arah pedoman
dengan bekal amat sedikit untuk teruskan perjalanan

kemudiani ku gentas tasbih kasih
dan sayu air mata jatuh menitis
merayu kepada yang Maha Pengasih
agar hitam dihati kian terhakis

sambil satu persatu lembaran surat
dari mulut kekasih kepada kekasih
mengharap pembakar semangat
dengan hadis yang telah lama tersisih

tak kisahlah nanti apa jadinya
Ya Allah jadikan aku tabah dengan dugaan Mu
kental hati ini menerimanya dengan redha
syukur dan tenang sentiasa

(5) antara mimpi,ilham,iktibar KCPLB

Edit
(5) antara mimpi,ilham,iktibar KCPLB
by Merah Artock Merah on Monday, June 7, 2010 at 4:14pm
aku masih hanyut dalam khayalan
saat tangan mereka berjabat mesra
aku inginkan apa yang terlintas di hatinya milikku
saat itu aku mahukan yang akulah dia

dengan terang dan jelas aku mendengar
aku nikahkan engkau akan dia
aku tak sabar menyahut seruan itu
namun aku terhenti di situ, kaku

sedikit gugup antara tenang dan pasti
sedikit gentar antara yakin dan gelisah
terasa hatiku dengannya ketika itu
menjadi satu,rentak dan iramanya

Ya Allah andai ini kebahagian yang Engkau janjikan buatku
jadikan aku redha dengannya
Ya Allah andai ini satu ujian yang tertulis dalam takdir Mu
Jadikan aku tenang menghadapinya

Detik dan ketika terpaku di dada waktu
dengan hela nafas yang panjang
menyusun silang kata kesangsian dan keyakinan
mencari satu ketenangan dan kepastian

hati ku sedikit terganggu,sambut sajalah
kenapa engkau masih mahu menyesakan benak ku
mengapa engkau masih berlegar sehingga aku yang keliru
bukankah selama ini yang kita tertunggu tunggu

aku terima nikahnya dengan
ahhhh kenapa harus begini
jangan kejutkan aku dari mimpi ini
aku mahu tahu kesudahannya

dan sekali lagi
aku termanggu dalam sepi
menanti dan terus menanti
sebuah hakikat untuk aku menafsir kembali

(4) antara mimpi,ilham,iktibar KCPLB

malam tu suasana meriah
pandangan ku tertumpu ke satu sudut
aku terlihat satu kelibat berdiri
menunaikan 2 rakaat yang panjang
aku seakan bersamanya
mendengar dan meneliti tiap gerak
merasakan sensasi dan kesungguhan secara nyata

apa saja yang dia nyatakan
aku terasa seperti ianya milik ku
segalanya benar
bagaikan hatinya adalah hati ku
seolah olah hati ni bertaut padanya
seperti dia ingin mengajarku sesuatu

dalam sujud akhirnya
merayu dengan sepenuh keikhlasan
antara yang masih berbisik di telinga

"wahai Tuhan yang Maha Merancang dan Mengetahui aku yang lemah lagi hina bermohon pada Mu, dengan izin dan redha Mu, telah Kau anugerahkan aku seorang insan untuk aku harungi kehidupan ini bersamanya, jadikanlah hamba Mu yang soleh seperti, jadikan aku suami mithali,jadikan aku seorang bapa yang Engkau redhai, jadikanlah dia seorang wanita yang aku hormati, seorang isteri yang aku kasihi, dan seorang ibu yang mithali,wahai Tuhan yang Maha Pemurah dan Pemberi, kurniakan aku zuriat dan keturunan yang Engkau berkati, sempurnakan segalanya Ya Ar Rahmar Rahimin "

dan aku turut berdoa seperti itu
setidak tidaknya dalam lena ku
mungkin ini ilham
sesuatu yang perlu aku fikirkan
sesuatu untuk aku buat telahan
segalanya mungkin satu kemungkinan

(3) antara mimpi,ilham,iktibar KCPLB

resah kini menjadi jadi,
bagaikan sama sahaja kanan dan kiri,
masih bernyawa tetapi aku rasakan mati,
aku dihujani persoalan bertubi tubi,
apalah ertinya hidup ku ini,
dalam sujud aku mencari,
suatu ketenangan hampir hakiki,
merayu kepada rabbul alami

begitu pantas masa berlalu,
tiada lagi kulihat bayang mu ketika itu,
hati telah berbekas sekelumit rindu,
lembaran suci ku selak selalu,
hanya ia yang mampu mengubat sendu,
menghembus segala resah dan pilu,
membawa bersama awan mendung kelabu

(2) antara mimpi,ilham,iktibar KCPLB

tiada apa jua yang berlaku,
sedang aku masih menanti,
satu petunjuk untuk aku ikuti,
satu jalan untuk aku turuti,
masih temanggu menafsir diri,
masih bermain teka teki,
masih lelah mencari hati,
masih lemah untuk berdiri,

Dan setiap kali itulah,
engkau hadir dalam mimpi,
dengan kerudung putih melitupi wajahmu,
membaca kalimah Tuhan dihadapan mata ku,
gemersik irama penuh syahdu,
dan pasti air mata ini kan gugur dengan bisikan itu,
bersamanya telah tergoncang sekeping qalbu,
lalu terciptalah satu seni aku merindu

(1) antara mimpi,ilham,iktibar KCPLB

Entah berapa malam dah berlalu,
mimpi yang sama tetap berulang,
dan setiap kali juga aku hanya melihat engkau berdiri,
dalam kesamaran cahaya,
membelai satu lagi nyawa dalam tubuh mu,
lantas kau tersenyum,
satu hadiah teristimewa untuk ku,
tanpa suara,
kau berlau pergi begitu sahaja,
bersama bayu malam bertiup shahdu,

Maka entah berapa malam juga,
aku terbangun dari lena,
resah memikirkan pergertiannya,
menakul satu tafsiran sedaya upaya,
aku hanya mampu bangun,
mengharapkan satu kepastian,
apakah ada rahsia tersembunyi
dan sekian kalinya,
aku serahkan ia kepada Nya,
sesungguhnya Dia lebih mengetahui,